Ticker

6/recent/ticker-posts

SMKCM GOT Talent 2025: Mencungkil Bakat Murid dengan Penuh Meriah

 SMKCM GOT Talent 2025: Mencungkil Bakat Murid dengan Penuh Meriah

Kumpulan Collaboration Class muncul juara SMKCM Got Talent 2025

SMK Chinta Mata, 20 Februari 2025 – SMK Chinta Mata telah berjaya menganjurkan program SMKCM GOT Talent yang bertujuan untuk mencungkil bakat terpendam dalam kalangan murid. Program yang berlangsung dengan penuh meriah ini menyaksikan 12 penyertaan merangkumi seramai 28 murid yang mempersembahkan pelbagai bakat istimewa seperti nyanyian, tarian kreatif, pertunjukan silap mata, busking, dan persembahan band.

Sepanjang acara berlangsung, suasana di dewan sekolah dipenuhi dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada para penonton yang terdiri daripada murid-murid sekolah. Para penonton juga dilihat sangat terhibur dan terpersona dengan persembahan yang dipamerkan. Malah, terdapat detik-detik di mana mereka turut menyanyikan lagu bersama-sama peserta, menambah kemeriahan suasana.

Program ini dikendalikan oleh guru Kelab Seni Budaya dengan bimbingan Cikgu Shasheila Sheril, Cikgu John F, dan Puan Mary Jane. Pertandingan ini pula diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada Cikgu Hazwani selaku ketua juri, serta Cikgu Asrianti, Cikgu Illrea Tika, dan Cikgu Fatin. Manakala pengacara pula dihostkan oleh adik Gio Fernando daripada tingkatan 5 yang amat bijak mengawal suasana dalam dewan.

Selepas persaingan sengit, keputusan pertandingan telah diumumkan dengan Kumpulan Collaboration Class muncul sebagai juara selepas mempersembahkan tarian kreatif yang memukau. Tempat kedua dimenangi oleh Adik N Jilien Simpson, manakala tempat ketiga diraih oleh Adik Alciya Erna yang memukau dengan suara lunaknya.

Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum, En. Jesen Anthony Masuil. Dalam ucapannya, beliau menyatakan harapan agar program ini diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak penyertaan daripada murid. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas usaha dan keberanian mereka dalam menonjolkan bakat masing-masing.

Selain daripada persembahan peserta, beberapa guru turut mengambil peluang untuk mempersembahkan nyanyian selingan, termasuklah Cikgu Mouk Peng Kiong dan Cikgu Liyana Mastikar, yang menambah lagi kemeriahan acara.

Program SMKCM GOT Talent 2025 telah berjaya menjadi satu platform berharga bagi murid-murid untuk mengetengahkan bakat mereka dalam suasana yang menyeronokkan dan menghiburkan. Diharapkan program sebegini akan terus mendapat sokongan bagi melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang seni dan budaya.

Adik Daniel Nuileh mewakili adik N Jilien Simpson menerima hamper di tempat ke dua

Adik Alciya Erna meraih kedudukan tempat ke 3


Pengacara majlis oleh Adik Gio Fernando










Barisan Juri




Post a Comment

0 Comments