Warga SMK Chinta Mata Bergotong-Royong Menceriakan Sekolah
Warga SMK Chinta Mata Bergotong-Royong Menceriakan Sekolah
21 Feb 2025 : SMK Chinta Mata telah mengadakan program gotong-royong perdana pada hari ini dengan penyertaan penuh daripada semua warga sekolah. Program ini dijalankan di bawah seliaan Cikgu Rabiatul Adawiyah selaku guru penyelaras 3K (Kebersihan, Kesihatan, Keselamatan).
Gotong-royong ini bermula seawal jam 7.30 pagi dengan penyertaan aktif guru, murid, dan kakitangan sekolah. Selain itu, program ini turut melibatkan ibu bapa daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang bersama-sama turun padang bagi memastikan persekitaran sekolah lebih bersih dan ceria.
Sebelum gotong-royong bermula, satu taklimat telah disampaikan oleh Cikgu Rabiatul Adawiyah yang bertempat di dewan sekolah. Taklimat ini bertujuan untuk memberikan penerangan mengenai aktiviti yang akan dijalankan pada hari tersebut.
Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuklah membersihkan kelas, menceriakan bilik-bilik khas, serta kawasan sekitar sekolah seperti kantin, surau, makmal , bengkel dan tapak perhimpunan. Murid-murid dibahagikan mengikut kelas masing-masing, manakala guru kelas bertindak sebagai pemantau bagi memastikan aktiviti berjalan dengan lancar dan selamat.
Cikgu Rabiatul Adawiyah menyatakan bahawa program ini bukan sahaja bertujuan untuk memastikan kebersihan sekolah, tetapi juga untuk memupuk semangat kerjasama dan tanggungjawab dalam kalangan murid. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya ibu bapa yang sanggup meluangkan masa demi kesejahteraan sekolah.
Penghargaan juga kepada pihak PIBG yang telah memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini. Dengan adanya program sebegini, diharapkan SMK Chinta Mata akan terus menjadi persekitaran yang kondusif dan selesa untuk semua warga sekolah.
0 Comments